PELARI BERTIUB – SHAZWALI TAIB IKON ALUMNI GOLDEN FIT UPM 2021 | 50 TAHUN UPM
» ARTIKEL » PELARI BERTIUB – SHAZWALI TAIB IKON ALUMNI GOLDEN FIT UPM 2021

PELARI BERTIUB – SHAZWALI TAIB IKON ALUMNI GOLDEN FIT UPM 2021

Oleh: Ahmad Firdaus bin Mohammad

Khairul Shazwali Taib berusia 34 tahun, bekerja sebagai seorang jurutera, berkahwin dan mempunyai 2 orang cahaya mata. Beliau merupakan Alumni UPM yang mengambil kos Jurutera Mekanikal. Beliau merupakan atlit Rugbi kebangsaan dan pernah mewakili klub Serdang Angel UPM dan negeri iaitu Negeri Sembilan dan Selangor.

Semangat yang terdapat dalam diri beliau tidak mudah untuk patah dan telah dijadikan Ikon kepada warga UPM dalam Program Alumni Golden Fit UPM 2021. Beliau telah melakukan larian sejauh 80 km bersama buah pinggang baharu dalam tempoh sebulan untuk Program Alumni Golden Fit UPM ini.

Perjalanan Kehidupan Shazwali

Beliau disahkan menghidap penyakit kegagalan buah pinggang pada tahun 2016 di Hospital Serdang. Pada waktu itu, beliau merupakan seorang yang aktif bersukan dalam permainan rugbi, tidak merokok dan mengambil ubatan sampingan. Pada hari Isnin beliau telah mengalami sakit kaki pada bahagian kanan dan disahkan berpenyakit Gout. Kemudian, beliau memutuskan untuk berjumpa dengan doktor dan melakukan ujian darah. Selepas melakukan pemeriksaan kesihatan, pada hari rabu beliau telah mendapat panggilan kecemasan daripada doktor dan beliau telah dikejutkan bahawa telah mengalami kegagalan buah pinggang tahap akhir dan fungsi buah pinggangnya adalah 9% sahaja pada ketika itu.

Berita tersebut telah mengejutkannya dan menyebabkan beliau mengalami kemurungan dan tekanan emosi. Namun begitu, perkara tersebut tidak mematahkan semangat beliau, kerana beliau berpegang teguh kepada prinsip bahawa masih ada tanggungjawab untuk beliau meneruskan hidup untuk orang-orang yang tersayang. Oleh hal yang demikian, beliau telah memulakan rawatan berkala di Hospital Serdang. Beliau telah melakukan pembedahan menggunakan tiub dan melakukan dialisis tiub yang akan mengekalkan beliau dihidratkan empat kali sehari. Beliau dielakkan melakukan aktiviti senaman yang berat dan bersentuhan badan yang kuat.

Shazwali telah bertekad untuk melakukan sesuatu agar beliau kekal sihat. Oleh itu, melalui saranan doktor, beliau telah memulakan lariannya bersama tiub di dalam badannya. Tiub yang berada di perut beliau bukan penghalang untuk kekal sihat dan berjaya mengharungi detik-detik sukar dalam kehidupannya. Pada tahun 2018, beliau telah mendapat penderma buah pinggang dan perkara yang mengejutkan beliau adalah penderma tersebut adalah abang kandungnya sendiri iaitu Khairul Shazwan bin Taib yang berusia 38 tahun. Abang kandung beliau secara sukarela dan tanpa pengetahunnya mendermakan buah pinggang kepadanya pada waktu itu. Beliau hanya mengetahui perkara tersebut melalui doktor di Hospital Serdang sahaja.

Setelah melakukan pembedahan pemindahan buah pinggang baharu, beliau telah merasakan sebuah kehidupan yang baru buat dirinya. Oleh hal yang tersebut, beliau telah memulakan lariannya sejauh 12 km bersama buah pinggang baharu semasa menjalani tempoh dialisis, mengambil ubat-ubatan dan atas nasihat doktor. Oleh itu, beliau telah menyertai separuh maraton KLSCM 2020 secara Maya. Tujuan beliau menyertai larian separuh maraton tersebut adalah supaya dapat menyedarkan semua orang yang pernah melakukan pembedahan pemindahan buah pinggang agar terus bermotivasi dan kekal sihat untuk menjalani kehidupan yang bahagia seperti orang lain.

Tarikh Input: 03/05/2021 | Kemaskini: 03/05/2021 | msahrizan

PERKONGSIAN MEDIA

50 TAHUN UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
SXDdKAW~