Kekal Produktif Walaupun Bekerja Dari Rumah | 50 YEARS UPM
» ARTICLE » Kekal Produktif Walaupun Bekerja Dari Rumah

Kekal Produktif Walaupun Bekerja Dari Rumah

Oleh : Suziana Che Wil

Pandemik Covid-19 sekali lagi mencetuskan gelombangnya. Kes harian semakin meningkat secara
tidak langsung menambahkan rasa kerisauan dan kegusaran rakyat. Justeru, mengambil kira faktor
keselamatan dan kesihatan awam, sekali lagi Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia
mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh bermula 1 hingga 14 Jun 2021
untuk fasa pertama dan disambung semula bermula 15 hingga 28 Jun 2021.
Keputusan ini dibuat demi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 daripada terus menular.
Berikutan daripada pengumuman itu juga, pihak kerajaan mengesyorkan pekerja sektor awam hanya
perlu berada di pejabat tidak melebihi 20 peratus manakala sektor swasta pula tidak melebihi 60
peratus. Ini adalah untuk mengelakkan terjadinya penularan dan peningkatan kluster tempat kerja
yang tentunya akan membuatkan keadaan ini menjadi lebih rumit untuk dibendung.
Bekerja Dari Rumah (BDR) dulunya mungkin asing. Namun pada hari ini dengan pembudayaan
normal baharu, BDR dilihat satu kaedah terbaik untuk meneruskan kesinambungan pergerakan
ekonomi dan rakyat kekal mempunyai pendapatan. Namun bagi sektor kritikal yang memerlukan
keberadaan secara fizikal di pejabat, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat perlu
dipatuhi. Sektor pendidikan tinggi juga tidak terkecuali dalam perkara ini. Pekerja yang tidak berada
dalam perkhidmatan kritikal, pelaksanaan BDR sebagai tanda solidariti kepada usaha kerajaan
menangani penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Produktiviti terus berada pada tahap optimum
Pusat Perhubungan Alumni, antara PTJ yang meneruskan kelangsungan tugas dengan BDR.
Persoalannya, apakah dengan pelaksanaan BDR, tahap produktiviti pekerja akan merundum?
Meskipun perlu bekerja dari rumah, tahap produktiviti pekerja masih kekal tekal dan andal.
Pelaksanaan pelbagai program alumni diteruskan secara dalam talian. Pusat Perhubungan Alumni
UPM (ARCUPM), telah membuktikan bahawa BDR mampu mengekalkan tahap produktiviti apabila
program secara maya berjaya dilaksanakan dengan jumlah tontonan dalam talian yang ramai. Paling
memberangsangkan apabila julung kalinya, ARCUPM menganjurkan program gaya hidup sihat secara
maya iaitu UPM Alumni Golden Fit.
Program yang diadakan sempena Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021) telah
berjaya mengumpulkan peserta seramai 6201 orang. Program yang dilancarkan pada awal bulan
Februari dan berakhir pada 30 Mei 2021 ini menyasarkan untuk direkodkan ke dalam Malaysia Book
of Record bagi kategori Largest Participation In An University Fitness Event. Kaedah pelaksanaan
program ini adalah 100% secara dalam talian meliputi pendaftaran penyertaan, penghantaran rekod
larian, kayuhan dan jalan kaki sehinggalah kepada pengedaran kit program kepada para peserta. Ini
membuktikan, walaupun pelaksanaan program UPM Alumni Golden Fit diadakan secara maya
namun ia berjaya memberi impak seakan pelaksanaan program fizikal.
Atur Program Seiring Masa dan Situasi

ARCUPM dengan kerjasama beberapa Pusat Tanggungjawab (PTJ) UPM iaitu Kolej Kediaman,
Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Persatuan Alumni UPM (P{AUPM), Pusat Pembangunan
Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) dan Fakulti Pertanian serta penglibatan
kolaboratif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah melaksanakan Projek MegaChilli
2021
Projek Mega Chilli 2021 ini bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar untuk mencipta
peluang sebagai seorang usahawan apabila bergraduat dengan menggunakan pengalaman yang
diperolehi melalui projek ini. Projek berimpak ini merupakan salah satu projek bagi mencapai KPI
Pelan Strategik H.E.P.A 2021 iaitu Kelestarian Pertanian. Ini bertepatan dengan tema Sambutan
Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021) iaitu ‘Pertanian, Inovasi, Kehidupan’.
Tahun 2021 mencatatkan warna warninya tersendiri. Para pelajar diarahkan untuk meneruskan
Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) termasuklah penuntut universiti yang mana kursus
pengajian mereka tidak memerlukan pengujian khusus di makmal, adalah disarankan untuk
meneruskan pembelajaran secara hibrid. Melihat kepada situasi semasa ini, sekali lagi ARCUPM yang
prihatin dengan tekanan dan kemerosotan emosi pelajar khususnya dari sudut psikologi, hadir
dengan idea untuk menganjurkan program dalam talian yang dikenali sebagai UPM Alumni
Mentorship 2021.
Program UPM Alumni Mentorship 2021 dengan tema “Sokongan Kaunseling ke Arah Kesejahteraan
Pelajar” bertujuan menjadikan alumni (mentor) sebagai pembimbing/kumpulan sokongan kepada
pelajar (mentee). Dalam program ini, alumni yang mempunyai kepakaran dalam bidang kaunseling
digalakkan untuk menjadi pembimbing/kumpulan sokongan kepada pelajar yang terkesan secara
emosi dan psikologi akibat Covid-19. Pelbagai isu, kecenderungan dan kerisauan pelajar boleh
dikongsi antara mentor-mentee di samping mendapat khidmat nasihat daripada pakar. Program
yang bakal menghimpunkan alumni kaunseling UPM ini dijangka mampu menghimpunkan hampir 70
alumni dan menyasarkan 200 pelajar bakal mendapat manfaat daripada pelaksanaan program ini.
Program yang telah memulakan siri promosi di laman sesawang ARCUPM dan juga UPM sejak Mei
dan dijangka berakhir pada Ogos nanti. Siri pelaksanaannya adalah meliputi bimbingan individu,
bimbingan berkelompok dan penutup program UPM Alumni Mentorship 2021 adalah Webinar .
Natijahnya, di mana sahaja pekerja berada perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang
diamanahkan, kekal cekal dan andal serta sentiasa positif untuk terus kekal produktif.

Date of Input: 24/08/2021 | Updated: 24/08/2021 | famezan

MEDIA SHARING

50 YEARS UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
W1UJWEAl:04:57