UPM BERMUNAJAT TANDA KESYUKURAN 50 TAHUN PENUBUHAN UPM | 50 YEARS UPM
» NEWS » UPM BERMUNAJAT TANDA KESYUKURAN 50 TAHUN PENUBUHAN UPM

UPM BERMUNAJAT TANDA KESYUKURAN 50 TAHUN PENUBUHAN UPM

 

SERDANG - Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun ini, menyambut Sambutan Jubli Emas 50
Tahun UPM (1971-2021), sebagai sebuah institusi pendidikan tersohor di seluruh negara bahkan juga
di mata dunia seiring dengan usianya. Bermula pada tahun 1931 sebagai Sekolah Pertanian yang
kemudian dinaiktaraf menjadi Kolej Pertanian. Pada tahun 1971 bermulalah era sebagai sebuah
institusi pendidikan tinggi yang dikenali dengan nama Universiti Pertanian Malaysia sebelum diubah
nama menjadi Universiti Putra Malaysia. Hampir 90 tahun dalam dunia pendidikan dan penyelidikan,
tidak mustahil UPM telah diiktiraf sebagai salah satu universiti penyelidikan terbaik di rantau ini dan
menduduki tempat ke-132 di QS World University 2021.
Bertepatan dengan itu, dalam meraikan sambutan 50 tahun UPM, Pusat Islam UPM telah
melancarkan satu program iaitu UPM Bermunajat. Majlis ini berlangsung pada 25 Mac 2021 lalu,
selepas tiga bulan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021) dilancarkan. UPM Bermunajat
antara aktiviti yang sempat dijalankan secara fizikal sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0
diumumkan oleh kerajaan.
Tetamu kehormat yang hadir antaranya, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof.
Dato’ Dr. Zulkifli Idrus, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Ariffin Abdu,
Pengarah Pusat Islam, Tuan Haji Mat Razi Abdullah dan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM,
Prof. Dr. Arba’ie Sujud. Tidak ketinggalan turut hadir memberi sokongan ialah para pegawai UPM
dan juga mahasiswa.
Dengan kehadiran peserta yang perlu dihadkan tidak melebihi 40 orang kerana mematuhi SOP yang
telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), program ini tetap berjalan lancar.
Prof. Dr. Zulkifli Idrus berkata pada majlis itu, tahun 2021 adalah tahun yang amat mencabar buat
warga UPM dalam meraikan sambutan 50 tahun atas faktor negara dan dunia yang sedang berdepan
dengan pandemik Covid-19.
“Universiti amat menyanjung tinggi usaha yang telah diberikan dan saya mengucapkan ribuan terima
kasih kepada seluruh warga UPM yang telah bersama-sama berganding bahu demi memastikan UPM
terus cemerlang dan berdiri teguh sehingga ke hari ini”, ujar beliau.
Bersempena majlis itu juga, Prof. Dr. Zulkifli mengajak para hadirin untuk bersama-sama
memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan dan mendoakan
kecemerlangan dan keberkatan institusi pengajian tinggi ini. Mengambil berkat majlis itu juga, beliau
mengajak peserta yang hadir untuk memanjatkan doa agar musibah Covid-19 ini segera reda dan
semua dapat menjalani rutin seperti biasa.
Acara pada petang itu bermula sebaik sahaja selasai solat magrib berjemaah. Disusuli dengan solat
hajat, seterusnya bacaan Yassin dan ditamatkan dengan doa selamat memohon kesejahteraan dan
perlindungan daripada Allah SWT untuk seluruh warga UPM khasnya dan Malaysia amnya. Majlis itu
berjalan lancar dengan pimpinan, Ustaz Norisyam Nordin.
Terdahulu, sambutan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021) ini turut dimeriahkan dengan Program
Alumni Golden Fit yang merupakan acara kecergasan secara maya.

Dalam musim wabak, warga UPM khasnya sekretariat Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UPM iaitu
Pusat Perhubungan Alumni UPM, perlu kreatif untuk menjayakan sambutan kali ini. Banyak program
yang perlu diubah suai mengikut kesesuaian musim wabak untuk mengelakkan perhimpuan ramai,
demi sama-sama membantu kerajaan memutaskan rantaian Covid-19.
Jika dahulu pasti asing bila menyebut Program Kecergasan Maya, tetapi Alumni Golden Fit buktikan
dunia tanpa sempadan hari ini tidak membataskan untuk sihat. Sehingga kini penyertaan sudah
mencecah angka enam ribu dan membuktikan rakyat Malaysia dan warga UPM bersedia untuk
berubah demi kesejahteraan sejagat.
Untuk makluman, program ini terbuka untuk semua sama ada daripada kalangan Warga UPM iaitu
staf dan pelajar hinggalah untuk orang awam. Penyertaan mudah dengan mengisi borang
penyertaan atas talian dengan melayari, http://linktr.ee/alumnigoldenfitupm hingga tarikh tutup
pada 30 Jun 2021.

Date of Input: 31/05/2021 | Updated: 31/05/2021 | sitinurain

MEDIA SHARING

50 YEARS UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
SXESNAk~