Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia Kali Ke- 44 Yang Pertama Selepas Negara Di Landa Pandemik Covid-19 | 50 TAHUN UPM
» BERITA » Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia kali ke- 44 yang pertama selepas negara di landa Pandemik Covid-19

Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia kali ke- 44 yang pertama selepas negara di landa Pandemik Covid-19

Oleh: Suziana Che Wil

Penyunting: Nik Hafzaini Nik Hassan

SERDANG, 8 Januari 2022 - Universiti Putra Malaysia (UPM) melangsungkan Majlis Konvokesyen UPM Ke-44 Tahun 2022 pada 8 Januari hingga 13 Januari 2022 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.

Ini adalah majlis konvokesyen UPM yang pertama sejak negara dilanda pandemik COVID-19 mulai awal 2020 lalu.

Pada 12 Januari 2022 (Sesi Kelima), Tuanku Canselor UPM, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj perkenan memasyhurkan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie dan Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Syed Jalaludin Syed Salim sebagai Pro Canselor UPM selama tempoh tiga tahun mulai 18 Oktober 2021 hingga 17 Oktober 2024.

Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Sarjana (Master), Bacelor dan Diploma kepada graduan pada hari kelima (12 Januari, sesi kelima) pada majlis itu.

Seramai 5,695 graduan pelbagai program pengajian telah menerima ijazah dan diploma masing-masing terdiri daripada penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) seramai 398, Ijazah Sarjana (Master) seramai 1,093, Bacelor (3,544) dan Diploma (660).

Tuanku Canselor juga berkenan mengurniakan hadiah kepada Pemenang Hadiah Peringkat Universiti iaitu Hadiah Pingat Emas Canselor kepada Aini Nazihah Hasin@Hassan daripada program Bacelor Sains Fizik Dengan Kepujian, Fakulti Sains. Aini Nazihah juga penerima Biasiswa Alumni daripada Yayasan Pak Rashid (YPR); Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputra) kepada Putera Mohamad Iskandar Jamil program Bacelor Sains Hortikultur, Fakulti Pertanian dan Anugerah Pelajaran Diraja (bukan Bumiputera) kepada Chow Heng Yee program Bacelor Sains Pembangunan Manusia, Fakulti Ekologi Manusia pada 12 Januari 2022.

Majlis Konvokesyen ini juga menyaksikan pengijazahan bagi program sulung Master Keusahawanan apabila seramai sebelas graduan telah bergraduat pada 8 Januari 2022 (Sabtu, Sesi 1) yang lalu. 

Sementara itu, antara atlet negara yang bergraduat pada sesi konvokesyen kali ini ialah Syed Syafiq Syed Cholan (Hoki), Nur Fatihah Mohammad Tahir (Menembak), Mohamed Farhan Hafsyam Zahid (Olahraga), Priyashankari Hari Sankar (Karate), Muhamad Hafzan Bakri Md Roni (Ragbi), Dzafran Asyraf Zainuddin (Ragbi) dan Muhammad Kamal Ishak (Sepak Takraw).

Majlis konvokesyen ini meraikan para graduan yang juga menjadi agenda penting dalam  Pelan Strategik UPM  2021-2025 iaitu, menyokong hasrat melalui Matlamat 1: Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang.

Tarikh Input: 21/02/2022 | Kemaskini: 21/02/2022 | sitinurain

PERKONGSIAN MEDIA

50 TAHUN UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
SXEZKAO~