Arca 50 Tahun UPM, Mercu Tanda Kecemerlangan Melalui Perjalanan Panjang Sebagai Sebuah Universiti | 50 TAHUN UPM
» BERITA » Arca 50 Tahun UPM, Mercu Tanda Kecemerlangan Melalui Perjalanan Panjang Sebagai Sebuah Universiti

Arca 50 Tahun UPM, Mercu Tanda Kecemerlangan Melalui Perjalanan Panjang Sebagai Sebuah Universiti

Oleh : Suziana Che Wil 

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

 

SERDANG, 14 Januari 2022 – Telah berlangsung Majlis Pelancaran Arca 50 Tahun UPM, Sistem Maklumat Alumni (AIS) dan Buggy Putrabiz@Alumni. 

Majlis Pelancaran Arca 50 Tahun UPM dan Sistem Maklumat Alumni (AIS) ini diadakan bersempena pembinaan arca 50 tahun UPM yang disambut sepanjang tahun 2021.

Pusat Perhubungan Alumni UPM kali ini diberikan tanggungjawab dan amanah untuk menjalankan majlis yang penuh memberi makna kepada seluruh warga Universiti Putra Malaysia kerana arca 50 tahun yang bakal menjadi simbolik sambutan Perayaan 50 Tahun UPM (1971-2021) telah berjaya dibina di hadapan Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM. 

Arca ini akan menjadi mercu tanda kebanggaan seluruh warga UPM atas kejayaan mengharungi perjalanan yang panjang penubuhannya sebagai sebuah universiti yang bereputasi antarabangsa.  

Arca ini secara keseluruhanya menelan kos pembinaan sebanyak RM19,000 hasil daripada pendapatan Program UPM Alumni Golden Fit 2021 yang mana sebanyak RM15,000 adalah hasil daripada penajaan Menteri Besar Selangor, manakala RM4,000 pula sumbangan daripada kutipan yuran penyertaan peserta UPM Alumni Golden Fit 2021.  

Sistem Maklumat Alumni (AIS) pula dibangunkan oleh Pusat Perhubungan Alumni untuk mengumpul dan mengemaskini data dan profil alumni UPM secara lebih komprehensif dan efisien. Laman portal ini bertujuan untuk memastikan maklumat dan profil alumni sentiasa bersifat terkini, aktif dan mudah dihubungi bagi tujuan hebahan dan publisiti pelbagai aktiviti dan program anjuran UPM. Melalui portal ini juga alumni boleh mengetahui aktiviti terkini yang dianjurkan oleh UPM, Pusat Perhubungan Alumni UPM dan juga menerusi Persatuan Alumni UPM. 

Penajaan buggy Putrabizz@Alumni merupakan sumbangan daripada En. Mohd Norashedy Ab Rashid, alumni UPM kelas 1994 dan 2004 kepada pelajar khususnya Chapter Student Ambassador (CSA) untuk membantu pelajar menjana sumber pendapatan bagi sebarang pelaksanaan program pelajar. Penajaan buggy Putrabiz@Alumni adalah yang pertama kali seumpamanya dijalankan di antara universiti dan alumni. Jika selama ini kerjasama sering dilakukan bagi tujuan biasiswa dan sebagainya, namun kali ini penajaan buggy untuk kegunaan pelajar CSA dan pelajar lain adalah untuk mengembangkan bakat dalam bidang keusahawan yang disediakan oleh pihak universiti. Terima kasih diucapkan kepada saudara Mohd Norashedy Ab Rashid, atas penajaan buggy ini. 

Tetamu kehormat yang turut hadir pada majlis ini, Naib Canselor UPM, Ybhg. Prof. Dr. Roslan Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Ybhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Ybhg. Prof. Dr. Nazamid Saari, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat) Ybhg. Prof. Ir. Dr. B.T Hang Tuah Baharudin, Presiden Persatuan Alumni, Dato’ Raihan Sharif, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud dan Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Encik Fahmi Azar Mistar dan penaja Buggy PutraBiz@Alumni, Encik Norashedy Ab Rashid.

Naib Canselor UPM, Prof Dr. Roslan Sulaiman, berkata pada majlis itu, pembinaan Arca 50 Tahun UPM ini menjadi satu simbol yang tinggi nilainya. 

“Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari alumni kelas 2002 atas sumbangan penajaan melalui program UPM Alumni Golden Fit. Menerusi program tersebut Pusat Perhubungan Alumni dapat merealisasikan pembinaan Arca 50 Tahun ini. Selain sebagai simbolik sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun, pembinaan arca ini juga merupakan manifestasi buat alumni untuk menyumbang semula kepada kampus. Selain itu, Sistem Maklumat Alumni (AIS) yang dibangunkan oleh Pusat Perhubungan Alumni, juga satu inisiatif yang terbaik dalam memudahkan para alumni UPM untuk mengemaskini profil peribadi terkini mereka dan seterusnya dapat kekal berhubung dengan alma mater dan juga kembali menyumbang kepada alma mater. 

Manakala projek BuggyPutraBiz@Alumni adalah yang pertama kali seumpamanya dijalankan di antara universiti dan alumni. Jika selama ini kerjasama sering dilakukan bagi tujuan biasiswa dan sebagainya, namun kali ini penajaan buggy untuk kegunaan pelajar CSA dan pelajar lain adalah untuk mengembangkan bakat dalam bidang keusahawan yang disediakan oleh pihak universiti.

Sekali lagi saya zahirkan berbanyak terima kasih kepada penaja buggy Putrabizz@Alumni iaitu Encik Mohd Norashedy Ab Rashid, alumni UPM kelas 1994 dan 2004. Diharapkan para pelajar khususnya Chapter Student Ambassador (CSA) dapat memanfaatkan buggyPutrabiz@Alumni ini bagi  menjana sumber pendapatan bagi sebarang pelaksanaan program pelajar.” Akhirinya.

 

Tarikh Input: 28/01/2022 | Kemaskini: 28/01/2022 | sitinurain

PERKONGSIAN MEDIA

50 TAHUN UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
SXETUAr~