UPM Alumni Golden Fit, Capai Sasaran Penyertaan Secara Maya Meskipun Julung Kali Diadakan | 50 TAHUN UPM
» ARTIKEL » UPM Alumni Golden Fit, Capai Sasaran Penyertaan Secara Maya Meskipun Julung Kali Diadakan

UPM Alumni Golden Fit, Capai Sasaran Penyertaan Secara Maya Meskipun Julung Kali Diadakan

Oleh : Suziana Che Wil 

Suntingan: Nik Hafzaini Nik Hassan

UPM Alumni Golden Fit merupakan program kecergasan yang direka khas bersempena Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021). Program kayuhan dan larian secara maya direka khas demi menyahut cabaran norma baharu pada musim pandemik yang melanda negara. Program ini membuktikan keterbukaan rakyat Malaysia dan warga UPM menyahut cabaran untuk kekal sihat pada situasi Perintah Kawalan Pergerakan telah berjaya dilakukan. 

Sebanyak 6201 penyertaan telah diterima oleh pihak sekretariat program iaitu Pusat Perhubungan Alumni bermula dari 5 Februari hingga tarikh tutup program pada 30 April 2021. Program larian dan kayuhan ini terbahagi kepada empat kategori penyertaan iaitu 50 km, 25 km dan 10 km dengan yuran penyertaan daripada RM60 hingga RM5. Setiap kategori akan diberikan cenderahati istimewa yang mana rekaannya bertemakan motif corak sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021). 

Program Alumni Golden Fit merupakan program kerjasama di antara Chapter Student Ambassador (CSA), Alumni UPM bersama Pusat Perhubungan Alumni UPM. Penyertaannya dibuka kepada mahasiswa, staf, alumni dan juga orang awam. Antara sasaran utama program ini adalah untuk mencapai Malaysia Book Of Record (MBOR) dan sehingga kini pihak sekretariat masih menunggu penilaian daripada pihak MBOR di atas kejayaan mencapai sasaran sebanyak 6201 penyertaan. 

Kit Rekaan Eksklusif 

Program ini merupakan hasil idea daripada Pusat Perhubungan Alumni demi memupuk rasa kebersamaan dan kekitaan di kalangan warga UPM dan juga pihak alumni. Melalui program ini dapat menyemarakkan rasa kebersamaan dan terus berhubung sesama kita. Lebih menarik lagi rekaan Kit untuk para peserta juga cetusan idea dan hasil kreativiti daripada pelajar tahun akhir UPM sendiri. Setiap sentuhan motif mempunyai nilai estetika tersendiri bersempena sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021). Antara kit yang bakal dimiliki oleh para peserta seperti baju kemeja T berleher bulat, pelitup muka, pingat dan sijil penyertaan. 

Baju kemeja T berleher bulat didatangkan dalam dua warna berbeza iaitu hitam dan hijau. Kemeja T berwarna hitam dengan sentuhan corak batik borneo membawa makna kisah sebuah menara gading yang telah bertapak di Serdang, Selangor dan Bintulu Sarawak. Dengan sentuhan warna merah menaikkan seri di kiri dan kanan baju melambangkan keberanian dan ketahanan dalam menghadapi cabaran di setiap penjuru dunia. Manakala warna emas pula menjadi tarikan utama dan melambangkan penubuhan universiti sudah melewati usia 50 tahun. 

Tiada lama tiada baharu. Sejarah Sekolah Pertanian, Kolej Pertanian, Universiti Pertanian Malaysia serta alumninya turut diabadikan. Kemeja T berwarna hijau membawa impian dan harapan alumni dan sejarah tiga nama ini.  Disinari dengan warna kuning emas dan sentuhan corak batik bunga, mengisahkan zaman yang berharga merentasi usia emasnya. Dan baju kemeja T ini hanya dikhaskan buat Alumni UPM sahaja. 

Begitu juga pingat yang menjadi kebanggaan peserta yang menyempurnakan larian dan kayuhan mereka sejauh 50km dan 25 km sahaja. Pingat ini direka khas dengan lambang Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021). Pingat ini tidak akan dapat dimana-mana kedai untuk pembelian biasa tetapi hanya dimiliki oleh peserta yang menyertai larian dan kayuhan maya ini. Manakala pelitup muka pula pasti menjadi kenangan paling istimewa memperingati kisah negara dilanda Covid-19 pada masa akan datang. Segala-galanya mempunyai makna dan simbolik tersendiri. Istimewanya kit larian dan kayuhan ini dicetak dan dihasilkan oleh pelajar tahun akhir UPM dibawah syarikat Kicksdaily Store Sdn Bhd.

Edaran Kit UPM Alumni Golden Fit

Tarikh tutup penyertaan untuk kesemua kategori adalah pada 30 April 2021 dan pada 31 Mei 2021 adalah tarikh akhir untuk menghantar bukti rekod larian dan kayuhan kepada pihak sekretariat.

Pada jangkaan pihak sekretariat, proses untuk pengeposan Kit Program akan bermula pada pada 25 Mei 2021. Namun tahun 2021 adalah tahun yang penuh cabaran dan kekangan. Sekali lagi negara diletakkan dibawah Perintah Kawalan Pergerakan dan telah membataskan semua perancangan. Pengeposan Kit Program sedikit mengalami kelewatan namun pihak sekretariat telah bertungkus lumus menyelesaikan semua urusan pengeposan bermula 1 Jun 2021 hingga 25 Julai 2021.

Pandemik tidak menghalang program berlangsung. Cuma yang berbeza lapangan dan platform sahaja. Program ini tidak berhenti di sini, pastinya akan ada UPM Alumni Golden Fit pada masa akan datang mungkin situasi dan caranya sahaja yang akan berbeza. Meski dihimpit dengan pelbagai kekangan, bersama kita menyemarakkan Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021) biar dalam apa cara sekalipun. Semoga UPM terus cemerlang dengan semangat jiwa bangsa daripada mahasiswa, staf, alumni dan seluruh warganya. 

Tarikh Input: 11/06/2021 | Kemaskini: 13/08/2021 | alif.isnain

PERKONGSIAN MEDIA

50 TAHUN UPM
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
SXETQAh~